Sunday, April 7, 2013

Penduduk Gerik Dapat Masjid, Jambatan Baru Bernilai Hampir RM9 Juta

 
Image




KERAJAAN Negeri Perak hari ini mengumumkan dua lagi projek pembangunan di kawasan Gerik dengan melibatkan peruntukkan bernilai hampir RM9 juta.
Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir berkata, peruntukkan tersebut disalurkan untuk projek pembinaan sebuah masjid baru di Batu 4, Jalan Gerik-Kulim dan sebuah jambatan baru merentasi Sungai Perak ke Tanjung Rimbun, di Kampung Batu 6, Bandariang, juga dekat Gerik.
Menurutnya, masjid bernilai RM2.4 juta dan jambatan bernilai RM6.3 juta tersebut bakal memberi manfaat kepada lebih 1,600 penduduk di kawasan sekitarnya.
"Hari ini saya melawat dua tempat iaitu, pembinaan sebuah masjid dan sebuah jambatan merentasi Sungai Perak.

"Kedua-dua projek dalam proses untuk memulakan (kerja-kerja) pembinaannya," katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Pecah Tanah Jambatan Merentasi Sungai Perak Ke Tanjung Rimbun, Kampung Batu 6, Bandariang, dekat Gerik, hari ini.
Dr. Zambry berkata, projek jambatan baru sepanjang 100 meter yang dibina dengan konsep tanpa tiang merentasi Sungai Perak itu turut memberi manfaat kepada kira-kira 100 penduduk Orang Asli yang menetap di Kampung Chenawing.

"Jambatan tersebut tidak menggunakan tiang dan terus merentasi sungai. Difahamkan ini merupakan teknologi terkini yang dapat merentasi Sungai Perak selebar 100 meter.
"Ianya dianggap yang terpanjang sekali di dunia," katanya.
Projek jambatan itu dijangka siap sepenuhnya pada 2015 dan dijangka dapat membantu kira-kira 1,600 peserta yang mengusahakan tanah di kawasan seluas 4,000 ekar yang terletak di seberang Sungai Perak.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.