Saturday, March 30, 2013

Senarai nama calon BN Perak sudah keluar


Barisan Nasional (BN) Perak sudah memuktamadkan calon gandingan muka baru dan lama yang akan bertanding pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) ini. 

Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir, berkata gabungan itu akan bertanding di kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN), mempunyai pelbagai latar belakang, selain melepasi tapisan dan popular di kawasan ditandingi. 
“Calon dari Perak mempunyai kombinasi termasuk mengambil kira transformasi dan perubahan menampilkan calon baru dan lama yang boleh dikekalkan bilangannya (muka baru dan lama) seimbang. 


“Kita memahami sentimen pada peringkat bawah yang memerlukan calon berwibawa dan boleh menang, boleh beri khidmat yang baik serta calon baru, ada yang akan digugurkan dan itu sudah menjadi lumrah, bila sampai masa, berilah peluang kepada orang lain pula,” katanya ketika sesi pertemuannya bersama ketua biro media pada program sarapan pagi di kediamannya di sini, semalam. 

Calon dikenalpasti 

Zambry selaku Pengerusi BN Perak berkata, ‘bayang-bayang’ muka baru sudah diketahui malah mereka ditampilkan lebih awal di kawasan masing-masing. 
“Bagi muka baru, peluang ini bukan keistimewaan tetapi amanah dan tanggungjawab,” katanya. 
Bagaimanapun katanya, beliau hanya akan mengumumkan nama calon dipersetujui Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak itu serta sebarang perubahan kerusi antara BN yang diputuskan secara bersama dengan pemimpin komponen BN, sebaik mendapat lampu hijau pemimpin nombor satu negara. 

Katanya, pertemuan dengan Perdana Menteri di Putrajaya kelmarin, juga bukan yang terakhir sebaliknya akan diadakan dari semasa ke semasa kerana ia turut mencakupi perbincangan urusan pentadbiran negeri. 

Muka lama digugur 

Mengulas mengenai muka lama yang akan digugurkan, beliau mengakui kebanyakan wakil rakyat berkenaan sudah mengetahui perkara itu termasuk melalui pendekatan beliau bertemu, berunding dan menerangkan kepada mereka sejak dari awal. 

Mahu berundur 

“Sebahagian daripada mereka beritahu (mahu berundur) atas faktor kesihatan, sudah lama dan mahu beri tumpuan kepada perkara lain malah ada yang mengakui tidak lagi mendapat sokongan. 

“Ada juga yang kita perlu terangkan bahawa parti berasa perlukan pertukaran, jadi kita maklumkan kepada mereka secara perbincangan atau musyawarah,” katanya. 

Mengenai dakwaan pembangkang 11 ketua bahagian UMNO tidak akan dicalonkan semula kali ini, katanya, pemimpin PAS dan DAP seolah-olah mahu menjadi pencatur dan pengatur yang lebih tahu.