Umno dan Pas tidak perlu berhenti bersaing jika persaingan mereka itu
bertujuan menawarkan khidmat yang lebih baik kepada rakyat. Persaingan
untuk memberikan khidmat adalah persaingan yang sihat dan memberikan
kebaikan bukan negara.
Tidakkah kita lihat bahawa kewujudan persaingan di pasaran membolehkan
orang ramai mendapat barangan yang lebih berkualiti. Sementara monopoli
tanpa saingan akan merosakkan kualiti khidmat dan merugikan orang awam.
Persaingan Pas dan Umno jika atas dasar ingin menawarkan khidmat yang
lebih baik, bukan kerana dendam dan permusuhan yang lahir dari politik
kepuakan, akan memakmurkan masyarakat Muslim secara khusus dan negara
secara amnya. Jika persaingan itu atas slogan yang ALLAH SWT firman
(maksudnya) “Bersegeralah kepada kebaikan” (Surah al-Maidah, 48) maka ia
menjadi pahala kebajikan untuk semua pihak yang terlibat.
Saingan politik
Seperti yang selalu ditegaskan, pada asalnya, Islam tidak suka perasaan
tamakkan jawatan tanpa sebab yang berasas yang ALLAH reda. Keinginan
mendapatkan kedudukan politik untuk kepentingan diri atau sebagai
kebanggaan adalah dilarang dalam agama ini.
Ini jelas daripada hadis-hadis, antaranya sabda Nabi Muhammad SAW: “Kamu
semua begitu bercita-cita terhadap jawatan kepimpinan, ianya akan
menjadi penyesalan pada hari kiamat. Ianya sesuatu yang nikmat pada
permulaannya tapi keburukan pada akhirnya” (Riwayat al-Bukhari).
Baginda juga pernah menasihati `Abd ar-Rahman bin Samurah: “Wahai `Abd
ar-Rahman! Jangan engkau meminta jawatan pemimpin. Sesungguhnya jika
engkau diberikannya dengan permintaan maka engkau ditinggalkan (tidak
ditolong).
Sekiranya engkau diberikannya tanpa permintaan maka engkau dibantu” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).
Islam melihat kerakusan inginkan jawatan disebabkan perasaan sukakan
kedudukan dan nama hanya akan penyesalan di akhirat dan melemahkan
jawatan itu sendiri. Namun dalam masa yang sama, seseorang boleh
berusaha mendapatkan jawatan politik jika dia merasakan dia dapat
memberikan khidmat yang lebih baik daripada orang lain.
Ini seperti yang al-Quran ceritakan tentang permintaan Nabi Yusuf:
(maksudnya) Yusuf berkata: “Jadikanlah aku mentadbir perbendaharaan
hasil bumi (Mesir); sesungguhnya aku sedia menjaganya dengan
sebaik-baiknya, lagi mengetahui cara mentadbirkannya.
Dan demikianlah caranya, Kami tetapkan kedudukan Yusuf memegang kuasa di
bumi Mesir; dia bebas tinggal di negeri itu di mana sahaja yang
disukainya. Kami limpahkan rahmat Kami kepada sesiapa sahaja yang Kami
kehendaki, dan Kami tidak menghilangkan balasan baik orang-orang yang
berbuat kebaikan”. (Surah Yusuf, 55-56).
Kata Ibn Taimiyyah rh (meninggal 728H):
“Nabi Yusuf meminta jawatan kepimpinan untuk kebaikan agama, itu bukan
sesuatu yang mencanggahi pergantungan kepada ALLAH, tidak juga termasuk
dalam permintaan jawatan yang dilarang” (Ibn Taimiyyah, Majmu’ah
al-Fatawa, 8/68, Riyadh: Maktabah al-Abikan)
Kata al-Imam al-Qurtubi (meninggal 671H) mengulas ayat ini: “..demikian
juga hukumnya pada hari ini. Sekiranya seseorang insan tahu mengenai
dirinya, bahawa dia dapat menegakkan kebenaran dalam kehakiman dan
hisbah, sementara tiada seorang pun yang sesuai dan setanding dengannya
maka jawatan itu fardu `ain ke atas dirinya. Wajib dia mengendali dan
memintanya. Dia juga hendaklah memberitahu sifat-sifat yang
melayakkannya iaitu ilmunya, kemampuannya dan lain-lain” (Tafsir
al-Qurtubi, 9/21, Beirut: Dar al-Fikr).
Saling memerlukan
Persaingan Pas dan Umno adalah sesuatu yang baik jika mengujudkan
keadaan ‘check and balance’ antara penguasa dan rakyat. Ia akan
menghidupkan suasana amar makruf dan nahi munkar (promoting good and
forbidding evil).
Tindakan pemerintah akan diteliti oleh pembangkang dan tindakan
pembangkang adalah mewakili kemaslahatan rakyat. Maka wujudlah
pemerintah yang berkualiti dan pembangkang yang bermanfaat. Keduanya
membawa kebaikan kepada rakyat dan keduanya berlumba-lumba untuk mencari
pahala dalam lapangan politik.
Saya masih ingat pernah semasa saya berbual bersendirian dengan Tun
Abdullah Badawi di London, beliau menyebut: “Umno memerlukan Pas.
Kewujudan Pas menjadikan Umno sentiasa beringat dengan tindakan mereka."
Tanpa Pas, Umno akan terlupa dan tidak berhati-hati terutama berkaitan
Islam”. Saya percaya itu ucapan yang bukan atas kepentingan politik.
Dalam persada politik Malaysia, menghapuskan persaingan antara Pas dan
Umno bukan sesuatu yang baik untuk rakyat dan umat.
Bahkan itu boleh menjurus ke arah monopoli, kerakusan, bertambah
berleluasanya rasuah, hilangnya sifat berhati-hati dalam tindakan dan
pelbagai lagi.
Apa yang perlu dihapuskan?
Malangnya, hal ini kadang-kala tidak berlaku. Persaingan politik
dikendalikan atas kepentingan diri ataupun puak, bukan untuk kepentingan
rakyat lagi. Perlumbaan melakukan kebaikan itu dipadamkan oleh
banyaknya perlumbaan menghapuskan pesaing politik.
Berlakunya manipulasi isu dari kedua belah pihak. Kedua pihak akhirnya
menerima padah; maruah dan nilai tercemar. Kelantan yang dikuasai Pas
telah menjadi mangsa buli sekian lamanya. Hal yang sebaliknya juga
berlaku apabila segala tindakan pemimpin Umno jarang dinilai positif
oleh Pas. Politik prasangka memenuhi ruang. Kerakusan kuasa dan harta
meruncingkan lagi permusuhan itu.
Persaingan yang bertujuan untuk menggalakkan kebaikan dan menghalang
keburukan bertukar menjadi persaingan yang membawa keburukan dan
menghalang kebaikan. Media kerajaan yang menggunakan wang rakyat hanya
diberi ruang kepada satu pihak sahaja untuk mencerca pihak yang lain
semahunya.
Idea-idea politik dan pembangunan dari pihak yang bersaing tidak
mendapat ruang yang adil dalam media kerajaan. Padahal, jika niat
benar-benar untuk pembangunan rakyat, apa salahnya idea-idea baik itu
didengari oleh rakyat dan dilaksanakan oleh pihak kerajaan sekalipun
dari pembangkang.
Namun itu tidak berlaku. Politik idea dibunuh oleh politik permusuhan
puak dan peribadi. Dalam masa yang sama, ceramah dan ucapan pembangkang
juga banyak yang bukan mengemukakan cadangan dan idea yang bernas,
tetapi lebih kepada menyerang keburukan-keburukan peribadi pihak lain.
Sedaya mampu hanya untuk mencari salah dan silap, sekalipun dalam
perkara peribadi orang lain. Seakan mesejnya; ‘pilihlah kami, kerana
mereka lebih buruk dari kami’. Sepatutnya, ‘pilihlah kami kerana kami
dapat menawarkan service yang lebih baik’.
Sikap dan pendekatan yang seperti ini patut dihapuskan. Sikap yang lebih rasional dan insaf perlu disuburkan.
Di sebalik lambang
Dalam Umno dan Pas, ramai yang menilai pihak yang lain berdasarkan warna
parti. Warna itu pula telah diberikan pelbagai persepsi permusuhan
politik yang diapi-apikan oleh pelbagai keadaan dan pihak. Seakan, tiada
lagi kebaikan yang boleh diharapkan di pihak yang satu lagi.
Hakikatnya, di sebalik nama dan lambang parti masing-masing, ahli-ahli
Pas dan Umno adalah Muslim. Kehidupan ini bukan segalanya politik. Ya,
ada Muslim yang baik dan ada yang tidak mengamalkan agamanya.
Sementara yang kuat beragama itu pula, bukan semestinya dia berjaya
menghayati agama dalam setiap aspek. Setiap kita ada kelemahan dan
kekurangan. Hal ini terpakai untuk semua orang tanpa mengira parti.
Parti bukan agama. Parti mungkin berperanan dalam menggerakkan satu
juzuk dari kehidupan bermasyarakat dalam negara ini.
Orang Pas dan Umno ada yang baik dan takutkan ALLAH. Ada yang cuba
sedayanya mengamalkan agama apa yang mereka faham. Ada juga yang tidak
pedulikan agama, ataupun mempergunakan agama. Berserban dan bersongkok
bukan jaminan kebaikan untuk sentiasa dilakukan.
Bukan semua orang Umno jahat, bukan semua orang Pas baik. Begitu juga
sebaliknya. Mereka tidak lahir atas lambang parti. Mereka kebanyakan
lahir sebagai orang Muslim. Mereka mengakui Islam sebagai agama mereka.
ALLAH menamakan mereka semua Muslimin, sebelum mereka itu dikaitkan dengan nama parti mereka. Firman ALLAH:
(maksudnya) “dan berjihadlah kamu pada jalan ALLAH dengan jihad yang
sebenar-benarnya. Dialah yang memilih kamu (untuk mengerjakan suruhan
agamaNya); dan Dia tidak menjadikan kamu menanggung kesusahan dalam
agama, agama bapa kamu Ibrahim.
Dia menamakan kamu: ‘Muslimin’ semenjak dahulu dan di dalam (al-Quran)
ini, supaya Rasulullah (Muhammad) menjadi saksi untuk kamu, dan supaya
kamu pula menjadi saksi untuk umat manusia. Maka, dirikanlah solat, dan
berilah zakat, serta berpegang teguhlah kamu kepada ALLAH! Dia lah
Pelindung kamu. maka (ALLAH Yang demikian sifatnya) Dia lah sahaja
sebaik-baik Pelindung dan sebaik-baik pemberi pertolongan. (Surah
al-Hajj: 78).
Kita bersaudara
Tidak menjadi masalah bersaing dalam politik. Tidak menjadi masalah juga
bercita menukar kerajaan atau mengekalkannya. Namun, antara orang Pas
dan Umno, di sebalik tembok parti, mereka kena ingat mereka saudara
seagama.
Banyak perkara dalam kehidupan ini yang mereka berkongsi perkara yang
sama. Mereka percaya pada ALLAH yang sama, Nabi yang sama, al-Quran yang
sama dan seterusnya. Banyak perkara pokok dan asas yang mereka sama
dibandingkan perkara yang mereka berbeza.
Walaupun pada juzuk politik mereka berbeza, mereka wajib menghormati hak
sebagai saudara Muslim dalam kehidupan ini. Perbezaan parti tidak boleh
menghalang mereka dalam masa yang sama untuk kasih saudara seagama.
Tidak wajar menghalang mereka untuk duduk berbincang dan berpakat yang
perkara yang mereka sama-sama imani. Tidak wajar menghalangi mereka
memberi salam dengan jujur dan melahirkan ukhuwwah islamiyyah tanpa
dikaitkan dengan soal perbezaan pendekatan politik.
Sesiapa yang bersahabat dengan kedua pihak, akan menemui kebaikan yang
wujud di kedua belah pihak. Mungkin kita tidak setuju dengan lambang
tertentu, namun dalam kehidupan bukan semua yang disandarkan dengan
lambang tertentu itu sentiasa seiras dengan lambangnya.
Sesiapa yang taklid buta dengan menganggap segala yang dibuat oleh
partinya benar bererti dia telah memaksumkan partinya. Sesiapa yang
mengikut dan bersetuju dengan segala yang baik dan buruk dalam partinya
bererti dia bagaikan keldai yang tidak mampu menilai.
Maka, apabila seorang Muslim dari Pas atau Umno menghulurkan tangan
kepada saudaranya, janganlah dipentingkan sangat partinya, lihatlah
keluasan hidup ini dan hak-hak Muslim atas Muslim yang lain yang
tercatat dalam agama ini. Akidah merentasi parti.
Sentiasalah kita ingat firman ALLAH: (maksudnya): Wahai orang-orang yang
beriman, hendaklah kamu semua sentiasa menjadi orang-orang yang
menegakkan keadilan kerana ALLAH, lagi menerangkan kebenaran; dan jangan
sekali-kali kebencian kamu terhadap sesuatu kaum itu mendorong kamu
kepada tidak melakukan keadilan. Hendaklah kamu berlaku adil (kepada
sesiapa jua) kerana sikap adil itu lebih hampir kepada takwa. Dan
bertaqwalah kepada ALLAH, sesungguhnya ALLAH Maha Mengetahui dengan
mendalam akan apa yang kamu lakukan”. (Surah al-Maidah: 8)
sumber: sinarharian.com