Tuesday, April 9, 2013

Faktor Kejatuhan Empayar Uthmaniyah dan Persamaannya Dengan Malaysia

 

 

 

 

Pembentukan kerajaan Turki merupakan proses sejarah yang panjang dan tidak terjadi dengan tiba-tiba. Dalam sejarahnya selama lima abad iaitu bermula pada akhir abad ke-13 hingga awal abad ke-19 kerajaan Turki Uthmaniyah telah mengalami pasang surut. Pada satu sudut, dapat dilihat sebuah sistem politik yang diwarisi dari Kerajaan Turki Saljuk dan mengalami perkembangan yang gemilang dan akhirnya mengalami kemerosotan.

Empayar Turki Uthmaniyah telah diasaskan oleh Uthman 1 yang mengistiharkan kemerdekaan wilayah Uthmaniyah pada tahun 1299. Wilayah ini mula berkembang melalui penaklukan Constatinople oleh Muhammad Al-Fatih pada tahun 1453 dan terus gemilang semasa pemerintahan Sulaiman Al-Qanuni. Namun selepas kemangkatan Sulaiman Al-Qanuni pada tahun 1566 berlaku kemerosotan dalam empayar Turki Uthmaniyah. Malang yang menimpa ini adalah lantaran kelemahan-kelemahan yang wujud dalam kerajaan Turki Uthmaniyah yang telah membawa kepada kejatuhan empayar yang telah mencapai zaman kegemilangan.

Keruntuhan empayar yang telah mencapai kegemilangan ini merupakan peristiwa yang kompleks bagi sebuah masyarakat Islam dari sebuah kerajaan menuju negara moden. Pada proses keruntuhannya, Turki Uthmaniyah merupakan wilayah yang besar meliputi semenanjung Balkan, Asia Kecil, Arab Timur Tengah, Mesir dan Afrika. Namun, akibat daripada pelbagai faktor yang akhirnya membawa kepada kejatuhan Empayar Uthmaniyah sehingga memberi kesan kepada negara-negara Islam di sekitarnya yang turut terkena tempias akibat kemerosotan Turki Uthmaniyah.

2.0 Faktor-Faktor Kejatuhan Empayar Turki Uthmaniyah
Terdapat pelbagai faktor yang menyebabkan kejatuhan empayar Turki Uthmaniyah. Antara faktor yang membawa kejatuhan empayar ini adalah disebabkan beberapa aspek iaitu politik, ekonomi, sosial dan pengaruh luar yang meresap masuk dalam kerajaan. Justeru kelemahan-kelemahan ini telah mendorong kepada keruntuhan empayar Turki Uthmaniyah.

2.1 Politik
Faktor politik merupakan perkara pokok yang menyebabkan empayar Turki Uthmaniyah mengalami kemerosotan. Faktor politik ini termasuk kelemahan kepimpinan, pentadbiran dan pemerintahan yang tidak teratur serta ketenteraan yang lemah. Hal ini merupakan pendorong ke arah kehancuran empayar Turki Uthmaniyah.

Setelah kemangkatan Sulaiman Al-Qanuni empayar Turki mula memperlihatkan kejatuhan dan kemunduran. Hal ini adalah lantaran daripada kelemahan sultan, baik dalam keperibadian serta yang paling utama dalam kepimpinannya. Kelemahan ini dapat dibuktikan dengan sikap sultan itu sendiri yang mementingkan hiburan dan kesenian sehingga menyebabkan kerosakkan moral. Contohnya, Sultan Murad III telah dikuasai oleh nafsu sepanjang pemerintahan sehingga mempunyai 118 orang anak. Di samping itu, Sultan Ibrahim membunuh 100 000 orang dan menyaksikan sendiri pembunuhan 25 000 orang daripadanya. Kehidupan sultan yang hidup bermewah-mewah akhirnya mendorong perlakuan tidak bermoral yang telah membawa kejatuhan empayar Turki Uthmaniyah.

Umum mengetahui bahawa Turki Uthmaniyah mempunyai pemimpin silih berganti. Namun, tidak dinafikan bahawa keadaan ini telah menyumbang kepada kejatuhan Turki Uthmaniyah kerana masalah perebutan takhta dalam kalangan pembesar dan pemerintah. Sistem syura tidak diamalkan dan pemilihan pemimpin kebiasaannya adalah berdasarkan kekuatan. Keadaan ini telah mendorong ke arah peperangan antara putera-putera raja yang menyebabkan ketidakstabilan politik dan kepimpinan yang menurun. Kelemahan kepimpinan ini menyebabkan kerajaan dikuasai oleh anggota-anggota harem atau kelompok tertentu dalam istana. Kelemahan dalam pentadbiran dan pemerintahan ini telah ditunjukkan dalam pemerintahan selepas kemangkatan Sulaiman Al-Qanuni dan mengakibatkan keruntuhan empayar Turki Uthmaniyah. Hal ini dapat dilihat semasa pemerintahan Ibrahim dipengaruhi oleh Bonda dan tiga orang isterinya yang masuk campur dalam pemerintahan untuk menyingkirkan Wazir Agung Kara Mustafa. Keadaan ini membawa kepada kejatuhan Turki Uthmaniyah.

Pertahanan merupakan aspek terpenting dalam politik sesebuah negara. Oleh itu, kelemahan dalam sistem ketenteraan merupakan penyumbang kepada kejatuhan kerajaan Turki Uthmaniyah. Kemerosotan ini bermula dengan kelemahan disiplin ketenteraan dalam kalangan pegawai atasan. Hal ini disebabkan oleh pertandingan ketenteraan yang sebenarnya telah ditinggalkan yang menyebabkan putera-putera raja yang berpontensi telah disisihkan dan memilih putera sulung kerana perkara ini memberi kebebasan kepada para pegawai. Hal ini dapat dibuktikan dengan perlantikan Bayezid 1 dan Salim II dipilh bukan berdasarkan kemampuan yang unggul. Di samping itu kelemahan ketenteraan juga dapat dilihat melalui penghapusan aristokrasi tentera lama yang menjadi saingan kepada kuasa kerajaan. Penghapusan ini menyebabkan sistem tentera hamba mejadi terbatas kerana seksyen ketenteraan yang dominan dalam angkatan tentera telah membenarkan anak-anak pegawai mendapat pangkat, lantas menghapuskan asas disiplin dalam tentera. Jelaslah bahawa faktor politik yang akhirnya telah membawa kepada kejatuhan empayar Turki Uthmaniyah.

2.2 Ekonomi
Kelemahan dalam tadbir urus ekonomi merupakan punca kepada tercetusnya kemerosotan dalam kerajaan Turki Uthmaniyah. Kelemahan adalah disebabkan perlantikan jawatan yang bukan didasari oleh kebolehan. Hal ini dibuktikan melalui jawatan memungut cukai diberikan kepada sesiapa sahaja yang berikrar untuk memberi sumbangan kutipan yang besar kepada perbendaharaan negara. Keadaan ini bertambah buruk apabila kadar cukai yang tinggi dikenakan membebankan rakyat. Kelemahan ini mendorong kepada kemerosotan Turki Uthmaniyah.

Perdagangan yang lembab menyebabkan kejatuhan empayar Turki Uthmaniyah. Kegiatan perdagangan merupakan suntikan dalam membangunkan ekonomi Turki Uthmaniyah. Kelemahan ini disebabkan oleh saingan dengan negara Eropah yang semakin maju dalam bidang perdagangan. Hal ini dapat dibuktikan pada abad ke-16, Turki Uthmaniyah bersaing dengan Portugis untuk menguasai jalan perdagangan di perairan India. Dalam pada itu, sistem kapitalisme yang diperkenalkan di Eropah menyebabkan revolusi perindustrian muncul dan menenggelamkan industri tradisional masyarakat Turki. Selain itu, kemunduran dalam ekonomi Tuki adalah akibat berlaku peperangan yang tidak pernah berhenti. Pendapatan yang semakin berkurang dan dibebankan dengan belanja negara yang semakin besar termasuk perbelanjaan perang mendorong kepada kemelesetan ekonomi Turki Uthmaniyah. Kesannya, kegemilangan Turki dari aspek ekonomi semakin suram dan menuju kejatuhan.

2.3 Sosial
Masalah sosial seperti pemberontakan, ajaran Islam telah diselewengkan dan rasuah telah menyebabkan berlakunya kejatuhan Turki Uthmaniyah. Pemberontakan merupakan faktor terpenting dalam kejatuhan empayar yang terbilang ini kerana tiada lagi penyatuan antara golongan pemerintah dan rakyat jelata. Keadaan dapat dilihat apabila berlaku pemberontakan dalam kalangan puak Kurdish, puak Druze di Syiria, tuan-tuan tanah tentera di Anatolia dan Janissari di ibu kota yang ingkar dan suka memberontak telah mengganggu tumpuan tentera empayar menentang Austria, Poland dan Safavi. Pemberontakan ini mencetuskan masalah dalaman yang teruk sehingga membawa kepad kejatuhan Turki Uthmaniyah.

Gejala rasuah yang semakin berleluasa merupakan faktor kritikal yang menyumbang kepada kejatuhan empayar Turki Uthmaniyah. Rasuah telah menyerap dalam kalangan pegawai atasan menyebabkan pentadbiran menjadi lumpuh disebabkan pemimpin yang tamak haloba. Hal ini dapat dibuktikan apabila Sulaiman sendiri meminta hadiah daripada orang yang hendak dilantiknya pada waktu perlantikan dan mereka perlu juga berbuat demikian pada peringkat bawahan untuk menampung kos tersebut. Gejala rasuah ini telah menimbulkan kekacauan dalam pemerintahan dan melemahkan kedudukan kerajaan khususnya semasa pemerintahan Sultan Mustafa IV kerana bebanan cukai yang tinggi untuk memperkayakan individu yang dilantik untuk mengutip cukai dan memberi hadiah kepada pembesar yang membantunya memperoleh jawatan berkenaan. Oleh itu, rasuah merupakan faktor yang mendorong kejatuhan empayar Turki Uthmaniyah.(dato Sri Najib sedang berusaha bersungguh sungguh untuk menghapuskan gejala rasuah namun usahanya banyak digagalkan oleh parti pembangkang yang menjadikan isu ini sebagai isu politik apabila kroni mereka didakwa)

Keruntuhan akhlak dan kurang penghayatan Islam sedikit sebanyak mempengaruhi kejatuhan empayar agung ini. Ajaran Islam telah dicemari dengan ajaran khurafat, tahayyul, amalan tasawuf yang melampaui batas tanpa menghiraukan tugas wajib iaitu untuk berjihad dan menegakkan amar makruf serta mencegah yang mungkar. Di samping itu, golongan istana juga terlibat dalam krisis moral dengan adanya pesta yang dilengkapi dengan minuman keras, dendangan musik dan para dayang yang menghiburkan para pembesar negara. Jelaslah bahawa permasalahan sosial yang berlaku telah menyebabkan kejatuhan emapayar Turki Uthmaniyah. ( suasana ini telah berjaya dihapuskan dizaman Tun Dr Mahathir menjadi PM dengan penerapan nilai nilai islam dan Malaysia kini tidak seteruk seperti kerajaan Uthmaniyah)

2.4 Pengaruh Luar
Kebangkitan kekuatan Eropah telah menjadi faktor kejatuhan empayar Turki Uthmaniyah. Kemajuan dari aspek ilmu pengetahuan yang telah dicapai oleh Eropah telah mendorong perluasaan kuasa atau imperialisme Barat berlaku. Gerakan-gerakan renaisans melahirkan perubahan-perubahan yang besar dalam sejarah dunia iaitu kebangkitan Eropah dan kemunduran kerajaan Islam di empayar Turki Uthmaniyah. Hal ini telah melumpuhkan Turki Uthmaniyah akibat daripada saingan kuasa-kuasa Eropah.
Peperangan demi peperangan dengan kekuasaan Eropah telah memperlihatkan kekalahan kerajaan Turki Uthmaniyah. Hal ini dapat dilihat melalui peperangan dengan Austria sekitar tahun 1682-1689 yang menyebabkan kerugian yang besar bagi Turki Uthmaniyah. Penyatuan bangsa Eropah untuk menentang Turki telah menawan Hungary, kota Budapest, wilayah Transilvania dan beberapa wilayah yang melemahkan pertahanan Turki Uthmaniyah. Kejatuhan Turki Uthamniyah semakin terserlah akibat kekalahan dalam peperangan. Penyatuan Prince Eugene of Savoy dengan tentera Austria telah mengalahkan Turki dalam Peperangan Petewarden pada tahun 1716. Kekalahan ini merupakan faktor kejatuhan Turki Uthmaniyah.

Selain itu, siri perjanjian dengan negara Eropah yang akhirnya membawa kepada kejatuhan kerajaan Turki Uthmaniyah. Perdamaian melalui perjanjian menyebabkan Turki semakin lemah yang akhirnya membawa kemerosotan. Hal ini dapat dibuktikan melalui Perdamaian Passarowit yang ditandatangani pada Julai 1718 menyebabkan Turki kehilangan Timsuar, Belgrad, sebahagian besar negeri Serbia dan negeri Rumania. Perjanjian Radsin telah ditandatangani selepas kekalahan Turki kepada Russia dan menyebabkan sultan Turki terpaksa menyerahkan Ukraine kepada Russia dan membuka perniagaan kepada bangsa Cossack di Laut Hitam setelah mengusainya selama beberapa abad. Jelaslah pengaruh luaran merupakan punca kepada kejatuhan kerajaan Turki Uthmaniyah terutamanya kebangkitan semula Eropah selepas berlakunya zaman gelap.

3.0 Kesan Terhadap Negara-Negara Islam
Kejatuhan Turki Uthmaniyah secara tidak langsung telah memberi kesan kepada negara-negara Islam dalam aspek politik, ekonomi dan sosial. Hal ini merupakan petunjuk kepada pengakhiran kegemilangan kerajaan Islam yang dahulunya telah berkembang pesat. Rentetan kejatuhan ini menyerlah ketika Mustafa Kamal Antartuk mengisytiharkan Turki sebagai negara republik.

3.1 Politik
Kejatuhan Turki Uthamniyah telah memberi kesan kepada negara Islam yang lain dari aspek politik. Antaranya ialah kehilangan institusi khilafah dalam kerajaan Islam dan perpecahan negara-negara Islam di bawah satu pemerintahan (perkara ini sedang berlaku di malaysia dimana kelantan, kedah, penang dan selangor tidak sekata dengan kerajaan persekutuan). Hal ini telah memberi kesan yang buruk dalam politik negara Islam. Apabila kejatuhan Turki Uthmaniyah, setelah bertukar menjadi negara republik menyebabkan institusi khalifah telah hilang dan membawa kesan yang buruk kepada suasana politik negara Islam. Hal ini bermula selepas Mustafa Kamal menggantikan Kesultanan Uthmaniyah dan menjadi Pemoden Turki muda dan membawa perubahan dalam sistem politik Turki. Negara Islam turut mendapat kesannya kepada negara Iran di bawah pemerintahan Reza Shah yang memperkenalkan sebuah parti sahaja, sama dengan Parti Republikan Rakyat Antartuk. Pembaharuan ini telah melenyapkan sistem pemerintahan Khalifah di negara-negara Islam.

Kesan yang jelas kelihatan adalah perpecahan wilayah umat Islam yang dulunya di bawah pemerintahan Turki Uthamaniyah (perkara ini juga cuba diusahakan oleh Anwar Ibrahim untuk memisahkan sabah dan sarawak daripada Malaysia). Kelemahan Turki menyebabkan negara di bawah naungannya telah membebaskan diri dan di takluk oleh pihak Eropah. Pemberontakan oleh negara seperti Montenegro, Bosnia, Balkan, Prins Milaan, Serbia, Herzegovina dan di tempat-tempat lain membebaskan diri menyebabkan perpecahan negara umat Islam. Hal ini dibuktikan lagi dengan perpecahan wilayah Turki Uthamaniyah. Raja Husein hanya dapat menguasai tidak lebih dari bumi Hijaz. Raja Faizal pula yang telah berusaha memerdekakan bumi Syam dari kuasa Turki. Jelaslah bahawa kejatuhan Turki memberi implikasi kepada negara-negara Islam yang lain.

3.2 Ekonomi
Ekonomi negara-negara Islam turut mendapat kesan akibat daripada kejatuhan empayar Turki Uthmaniyah. Kemerosotan ekonomi Turki akibat perang kerana negara terpaksa membuat perbelanjaan yang besar untuk biaya perang. Hal ini telah menyebabkan negara Islam yang dahulunya di bawah pengaruh seperti Timur Tengah dan Afrika Utara mengalami kemerosotan ekonomi. Negara Islam semakin teruk terjejas ekonominya apabila selepas tamat Perang Dunia 1 kerana dengan persetujuan Sykes-Picot 1916 wilayah Turki Uthmaniyah telah dibahagikan kepada Perancis, Inggeris, Russia dan Itali. Hal ini menyebabkan ekonomi negara Islam yang dibahagikan telah terjejas akibat daripada penguasaan orang Eropah.

Perdagangan negara Islam semakin merosot kerana masyarakat Eropah telah menguasai perdagangan di Laut Hindi, Laut Mediternean, Terusan Suez dan jalan perdagangan yang lain. Hal ini telah menyebabkan Eropah semakin mengusai ekonomi negara Islam. Contohnya, Perancis dan Inggeris telah mengawal syarikat Terusan Suez dan orang Yahudi di Mesir memiliki hampir seluruh gedung besar perniagaan dan banyak melibatkan diri dalam pasaran saham. Selain itu, penguasaan Soviet Union yang menguasai sekitar satu pertiga daripada jumlah perniagaan asing Iran. Penguasaan ekonomi oleh masyarakat Eropah di negara Islam telah melemahkan ekonomi negara Islam.

3.3 Sosial
Kesan yang paling ketara yang menimpa negara Islam adalah aspek sosial akibat kejatuhan Turki Uthmaniyah. Kemerosotan tindak tanduk sosial hasil daripada kejatuhan Turki telah mempengaruhi negara Islam yang lain. Permodenan Turki telah menjadi ikutan negara Islam yang lain. Hal ini dapat dibuktikan kepercayaan sosialis Fabian Qibti Salama Musa di Iran yang berpendapat bahawa kebudayaan Barat menjadi kunci kepada reformasi sosial. Kebudayaan Barat ini telah menyebabkan keruntuhan akhlak masyarakat di negara-negara Islam. Kejatuhan Turki Uthmaniyah telah memberi kesan terhadap negara Islam dan rakyatnya yang membawa kepada perpecahan umat Islam. Contohnya, Inggeris menggalakkan pemisahan kaum Assyria dengan menubuhkan tentera khas untuk menindas kaum Kurdi dan Turki yang tinggal di utara Iraq. Jelaslah bahawa perpaduan umat Islam mula retak selepas kejatuhan Turki Uthmaniyah.

4.0 Penutup
Turki Uthmaniyah mempunyai sorotan sejarahnya yang tersendiri yang telah melalui era kegemilangan, kemerosotan yang akhirnya membawa kepada kejatuhan. Kedudukan kuasa Turki Uthmaniyah yang besar dan luas pada suatu ketika dahulu telah hilang sama sekali pada penghujung abad ke-18 dan yang tinggal hanya beberapa daerah kecil yang masih berada di bawah taklukan Sultan Turki. Pengakhiran kerajaan Turki Uthmaniyah bermula selepas Mustafa Kamal Antartuk mengisytiharkan Turki sebagai kerajaan Republik (mungkin berlaku kepada Malaysia sekiranya Pakatan Rakyat memerintah).

Sejarah telah memperlihatkan kejatuhan Turki akibat masalah dalaman dan luaran yang tidak dapat diselesaikan secara sistematik. Antara masalah tersebut adalah kelemahan Sultan Turki, pemberontakan, penyelewengan seperti rasuah, ekonomi yang tidak teratur, tentera yang lemah dan pengaruh luaran akibat daripada kebangkitan Eropah. Masalah ini telah menyebabkan kejatuhan Turki Uthmaniyah dan memberi tempias kepada negara Islam yang lain sama ada dari aspek ekonomi, sosial dan politik. Di samping itu, kejatuhan Turki sering dikaitkan dengan permasalahan pemimpinnya yang mementingkan hiburan dan kesenian. Hal ini dibuktikan dengan kenyataan orientalis barat yang mengatakan bahawa salah satu faktor kejatuhan Turki Uthmaniyah adalah disebabkan oleh pemimpin dan rakyat yang mementingkan hiburan dan keseronokan. Oleh itu, sewajarnya keadaan ini dijadikan iktibar dan sehingga kebangkitan semula institusi Khilafah seterusnya Islam kembali terbilang.


No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.