Institut Darul
Ridzuan (IDR) memperkenalkan 10 idea baru yang membabitkan dasar, polisi
dan strategi untuk membantu kerajaan Perak mencapai status negeri maju
menjelang 2020.
Ketua Pegawai
Eksekutif IDR, Datuk Seri Datuk Dr Abdul Rahman Hashim, berkata pihaknya
bertanggungjawab merangka dan menyediakan dasar, polisi dan strategi
untuk membawa Perak mencapai sasaran itu.
“IDR
memperkenalkan 10 idea baru untuk membawa Perak mencapai sasaran negeri
maju menjelang 2020 dan salah satunya ialah dengan memperkenalkan dasar
membangunkan modal insan.
“Penganjuran
wacana intelek ini contohnya adalah salah satu pelengkap kepada bidang
keberhasilan utama (NKRA) negeri Perak dalam usaha melahirkan modal
insan yang berilmu.
“Ia juga selaras
usaha kita untuk memajukan pencapaian akademik di Perak yang suatu masa
dahulu cukup hebat,” katanya berucap pada program Wacana Intelek ‘
Menjelang PRU-13: Demokrasi, Kepimpinan Dan Keamanan’ anjuran IDR di
Dewan Bankuet, SUK di Ipoh, sebentar tadi.
Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Ahmad Puhat Mat Nayan.
Mengulas program
itu, Abdul Rahman berkata, wacana intelek anjuran IDR itu memberi
peluang kepada ahli panel jemputan mengupas sesuatu isu secara
intelektual untuk mencambah minda pendengar.
Katanya, melalui
wacana itu juga, rakyat dapat memahami secara jelas mengenai pentingnya
sistem demokrasi, kepimpinan berkualiti dan keamanan yang perlu
dipelihara dan diteruskan.
Ia sebagai satu
lambang kedaulatan dan semua pihak katanya, perlu memainkan peranan
untuk menjayakannya dan pada masa sama tidak dimomokkan.
Tiga ahli panel
dijemput untuk membincangkan isu berkenaan iaitu mantan Naib Canselor
Universiti Utara Malaysia (UUM), Tan Sri Datuk Dr Nordin Kardi;
pensyarah Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan, Universiti Sains
Malaysia (USM); Prof Madya Dr P Sivamugam serta penyunting dan
penyelenggara buku terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP); Goh Hin San.
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.