Friday, April 19, 2013

Ahli CEC DAP tidak diiktiraf - ROS






   



KUALA LUMPUR 17 April - Pendaftar Pertubuhan (ROS) tidak mengiktiraf ahli Jawatankuasa Kerja Pusat (CEC) DAP yang dilantik dalam pemilihan pada 15 Disember tahun lalu ekoran pertikaian yang berlaku selagi siasatan masih berjalan.


Menurut sumber, perkara tersebut dinyatakan dalam notis menurut Seksyen 16(1) di bawah Akta Pertubuhan 1966 yang telah dihantar kepada Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng hari ini.


Tindakan itu dibuat mengikut Seksyen 3A Akta Pertubuhan 1966.


Katanya, ROS tidak berpuas hati mengenai pelantikan ahli CEC dengan betul berdasarkan penyata barisan pemegang jawatan yang dikemukakan oleh DAP.


"Pertikaian wujud kerana terdapat aduan daripada ahli DAP tentang notis yang tidak diserahkan kepada Setiausaha Cawangan dalam tempoh 10 minggu sebelum Kongres Kebangsaan parti itu diadakan.


"Kegagalan itu mengakibatkan 753 wakil dinafikan hak untuk hadir ke kongres itu. Selain itu, jawatankuasa itu juga tidak dibentuk secara betul kerana seorang daripada mereka, Vincent Wu Him Ven bukan ahli CEC," katanya.


Isu pemilihan CEC parti berkenaan pada tahun lalu menimbulkan keraguan kerana didakwa wujud penyelewengan oleh ahlinya sendiri apabila DAP dikatakan gagal memberikan notis kepada 753 delegasi yang merupakan ahli sah dan layak mengundi pada hari tersebut.


Jelas sumber itu lagi, keterangan-keterangan yang diberikan kepada ROS nanti perlu memuaskan hati dan jika tidak, mereka boleh membatalkan pendaftaran DAP di bawah seksyen 13, Akta Pertubuhan 1966.


"Notis yang dihantar ini, memperuntukkan bahawa dalam masa satu bulan dari tarikh notis ini disampaikan, DAP perlu mengemukakan kepada ROS mengenai senarai ahli CEC yang sah atau langkah-langkah perbicaraan yang diambil untuk menyelesaikan pertikaian itu.


"DAP juga perlu beri keterangan mengenai pemberian notis kepada setiausaha, semua wakil dan cawangan yang berhak menghantar wakil ke jawatankuasa berkenaan atau sekiranya tidak dipatuhi dalam Fasal VIII Perkara 6 dan 9 di bawah Perlembagaan DAP, maka langkah yang diambil untuk mematuhi peruntukan itu bagi pemilihan semula CEC atau langkah-langkah perbicaraan yang diambil untuk menyelesaikan pertikaian itu," jelas sumber itu.


No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.