Friday, April 19, 2013

Pas bohong tidak bertempat




Mohamad Hasan beramah mesra dengan sekumpulan murid selepas merasmikan bangunan baru empat tingkat Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Ladang Sungai Salak di Taman Seremban Jaya, Seremban, semalam. - utusan/Abd. Razak Aid
SEREMBAN 17 April - Pembohongan dan fitnah pembangkang dalam isu penerokaan hutan simpan di Rembau terbongkar apabila lokasi yang ditunjukkan kepada Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang baru-baru ini sebenarnya tiada penerokaan haram.
Malah Pesuruhjaya Pas, Mohamad Taufek Abd. Ghani bersama ahli parti yang lain berkumpul di Hutan Simpan Kekal Miku di Rembau tidak dapat membezakan antara hutan tersebut dengan Hutan Simpan Johol kerana terlalu ghairah untuk melaungkan 'kebencian' terhadap kerajaan Barisan Nasional (BN).
Lebih melihatkan Pas tiada ilmu dalam bidang perhutanan ini, apabila istilah 'Hutan Simpan Kekal Miku' itu sebenarnya tidak wujud dalam pemetaan hutan mengikut frasa kata yang dikeluarkan Jabatan Perhutanan negeri.
Justeru Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan hari ini berkata, tiada aktiviti penerokaan hutan haram di satu kawasan hutan di Jalan Miku dekat Rembau itu.
''Kawasan yang dimaksudkan oleh pembangkang itu ialah satu pembangunan yang berlaku di Hutan Simpan Johol dalam kawasan Kuala Pilah dan telah mengikut lunas undang-undang," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.
Mohamad berkata demikian selepas merasmikan bangunan baru empat tingkat Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Ladang Sungai Salak di Taman Seremban Jaya, di sini hari ini.
Katanya, pada Julai 2012, pihak berkuasa negeri telah meluluskan satu projek bagi tujuan meningkatkan pendapatan masyarakat Arang Asli di sekitar Kg. Charik dan Kg. Bari menerusi Projek Ladang Hutan Getah 'Timber Latex Clone'.
''Malah projek ini sejajar dengan keputusan Majlis Tanah Negara Ke-68 yang membenarkan lima peratus daripada keluasan kawasan hutan pengeluaran di dalam hutan simpanan kekal dibangunkan menerusi projek ladang hutan," katanya.
Jelas Mohamad, ini bermakna kawasan seluas 3,000 hektar hutan pengeluaran di negeri ini boleh dibangunkan dengan projek berkenaan.
''Kawasan sekitar bahagian 12, 13, 14 dan 15 Hutan Simpan Johol telah dipilih untuk pembangunan projek tersebut kerana sebahagian besarnya telah ditanam pokok getah secara 'ad hoc' oleh masyarakat Orang Asli.
''Kawasan itu meliputi keluasan 420 hektar dan dijalankan secara sah mengikut undang-undang di mana lesen pembalakan telah dikeluarkan kepada kontraktor dan permit penggunaan juga telah diluluskan Jabatan Kemajuan Orang Asli Negeri Sembilan.
''Malah projek ini juga mendapat bantuan daripada Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil dan Perusahaan Getah (RISDA)," tegasnya.
Sementara itu, Pengarah Perhutanan negeri, Ahmad Fadzil Abdul Majid ketika dihubungi memberitahu, istilah 'Hutan Simpan Kekal Miku' tidak wujud di negeri ini, malah tidak pernah diwartakan dalam pemetaan hutan negeri ini.
''Kawasan tersebut diwartakan di bawah nama Hutan Simpan Johol dan mereka dapat nama itu sebab kawasan itu melalui Jalan Miku di Rembau," katanya.
Jelasnya lagi, dakwaan pihak terbabit adalah tidak benar sama sekali dan renjer perhutanan telah ke lokasi tersebut bagi menyiasat perkara berkenaan.



Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/Politik/20130418/po_07/Pas-bohong-tidak-bertempat#ixzz2Qu3BhRS
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.