Google+ Followers

Tuesday, April 16, 2013

Jangan pilih calon Bebas terikat dengan parti


     

                            

 

    

                                     

KEHADIRAN calon-calon Bebas dalam pilihan raya umum sudah boleh dijangkakan. Namun, adakah kehadiran calon-calon sebegini penting atau sekadar berfungsi sebagai pemecah undi?


Menurut Pensyarah Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan, Universiti Sains Malaysia (USM), Prof. Dr. Ahmad Atory Hussain, bergantung pada keadaan. Kehadiran calon Bebas adalah perlu malah kadang kala boleh menguntungkan pihak lawan.


"Calon Bebas ini mempunyai pengikut yang ramai. Mereka juga boleh memecahkan undi sesuatu pihak yang mana akan memberi kelebihan kepada pihak lawan.


"Seperti sekarang, ada calon-calon Bebas yang masih terikat dengan Pas tetapi memilih untuk bertanding sebagai calon Bebas kerana tidak dicalonkan dan ini akan memecahkan undi Pas di kawasan terbabit dan memberi kelebihan kepada Barisan Nasional (BN)," katanya kepada Utusan Online.


Beliau bekata demikian ketika diminta mengulas mengenai tindakan beberapa pemimpin dan ahli-ahli pakatan pembangkang yang memilih untuk bertanding secara bebas walaupun masih terikat dengan parti masing-masing.


Sehingga hari ini antara mereka yang memilih untuk menjadi calon Bebas walaupun masih terikat dengan parti ialah penyelaras pusat khidmat DUN Kepayang, R.K. Muthu yang merupakan ahli DAP, Ketua Pas Cawangan Guchil Hulu, Muhamad Bustaman Yaacob dan ahli dari cawangan yang sama, Md. Nasir Ahmad.


Turut disebut-sebut akan mengambil tindakan serupa ialah penyandang kerusi Parlimen Balik Pulau dari PKR, Yusmadi Yusuff.


Namun, Ahmad Atory memberitahu, calon sebegini tidak wajar diberikan undi kerana mereka boleh dianggap sebagai pengkhianat.


"Mereka ini tidak mahu mengikut kehendak parti. Ikut konteks masyarakat Melayu, mereka telah menderhaka.


"Sepatutnya, parti Pas atau mana-mana parti, mengambil tindakan disiplin ke atas mana-mana ahli yang bertindak sedemikian,'' ujarnya.


Bagaimanapun, golongan sebegini adalah berbeza dengan calon-calon Bebas seperti Datuk Ibrahim Ali dan Datuk Zulkifli Noordin serta beberapa lagi yang mana kerana mereka tidak terikat dengan mana-mana parti politik.


Sementara itu, pemerhati politik, Profesor Datuk Dr. Zainal Kling berkata, pergolakan yang berlaku di kem pembangkang merupakan petanda bahawa mereka tidak mampu mentadbir negara.


Ini kerana, tegas beliau, gabungan tiga parti Pas-PKR-DAP bukanlah sebenarnya satu pakatan yang padu.


"Sebelum pilihan raya, mereka berselisih (faham) dari segi prinsip. Bila masuk pilihan raya, mereka berselisih pula mengenai calon dan kerusi. Kalau saling bergaduh, macam mana hendak mengurus negara,'' ujarnya.


Nasihat beliau mengenai calon-calon bebas sebegini: "Jangan pilih!"





© Utusan Melayu