Tuesday, April 16, 2013
Anwar mengaku kemelut agihan kerusi pembangkang belum selesai
Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengakui pergeseran dalam pakatan pembangkang berhubung agihan kerusi Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) masih belum dapat dimuktamadkan.
Penasihat Parti Keadilan (PKR) itu berkata, pakatan pembangkang masih gagal mencapai kata sepakat di kerusi-kerusi yang menjadi rebutan sesama mereka.
Walaupun menyifatkan pergeseran itu sebagai perkara biasa, Anwar mengingatkan keadaan tersebut boleh menyukarkan usaha pembangkang untuk menyaingi Barisan Nasional (BN) dalam pilihan raya 5 Mei ini.
"Esok (hari ini) kita ada mesyuarat, ada lawan sana, gaduh sini. Ini Chegu Bard (Badrul Hisham Shaharin) ada, DUN (Dewan Undangan Negeri) Sungai Acheh gaduh sikit-sikit.
"Kita jangan banyak sangat gaduh, kalau banyak sangat gaduh sama-sama macam mana mahu lawan UMNO?," katanya dalam ceramah di Padang Taman Gopeng Jaya, di sini malam tadi.
Seperti biasa, dalam ceramahnya, Anwar terus menabur janji manis untuk menurunkan harga minyak selain memansuhkan pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).
Dalam ceramah terbabit, Anwar turut mengumumkan Timbalan Pengerusi PKR negeri, Lee Boon Chye akan mempertahankan Parlimen Gopeng pada pilihan raya kali ini. -
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.