Thursday, April 11, 2013

Najmuddin Tolak Tawaran Jadi Calon Bebas

najmiuddin-pcc

ADUN Batu Kurau, Kpt (B) Datuk Mohd Najmuddin Alias Al-Hafiz yang mengumumkan tidak bertanding mempertahankan kerusinya mendedahkan menerima tawaran bertanding calon bebas pada PRU-13.

Najmuddin yang juga merupakan Penasihat Agama kepada Menteri Besar, berkata beliau telah menolak tawaran itu kerana masih setia bersama Barisan Nasional (BN) kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan BN negeri Perak pimpinan Menteri Besar Perak, Dato’ Seri Dr Zambry Abd Kadir.

Katanya, golongan tersebut membuat tawaran itu setelah beliau mengumumkan pada minggu lalu untuk tidak akan bertanding mempertahankan kerusi DUN Batu Kurau pada kali ini.

"Jadi pada pagi ini saya menyatakan sekeras-kerasnya menolak andaian yang mengatakan bahawa saya akan bertanding atas tiket bebas,’’ katanya kepada pemberita dalam sidang media di pejabatnya di bangunan SUK, Ipoh hari ini.

Hadir sama Pegawai Khas kepada Menteri Besar Perak, Dato’ Azhar Ahmad.

Sehubungan itu, beliau berharap kenyataan yang dibuatnya hari ini dapat menyangkal dan mematikan andaian prasangka buruk pemimpin Pas kononnya BN menolak calon ulama dan berpendidikan agama.

Katanya lagi, beliau juga tidak menolak kemungkinan bahawa tawaran tersebut dibuat oleh golongan terbabit bagi memecahkan undi calon-calon yang bertanding bagi kerusi DUN Batu Kurau menjelang PRU ke-13 nanti.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.