IPOH 18 Mei - Kejadian pergaduhan yang berlaku di persimpangan lampu isyarat Station 18, Pengkalan dekat sini pada 4 Mei lalu, berpunca daripada provokasi melampau yang dilakukan oleh penyokong pembangkang.
Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Rapat, Datuk Hamidah Osman (gambar) berkata, insiden melibatkan peserta konvoi Gelombang Biru Barisan Nasional (BN) dan penyokong pembangkang itu dapat dielakkan sekiranya konvoi bermotor itu tidak dihalang melalui jalan berkenaan.
Malah katanya, tindakan penyokong pembangkang yang memulakan serangan dengan menendang motosikal salah seorang peserta konvoi itu dan membaling botol berisi pasir telah menyebabkan peserta lain bertindak balas.
''Saya percaya, insiden ini merupakan perancangan mereka untuk mengganggu kelancaran konvoi ini. Jika kita tahu mereka ada di persimpangan lampu isyarat itu, kita akan pilih laluan yang berlainan untuk konvoi ini.
''Kejadian ini seperti telah dirancang rapi kerana daripada rakaman yang dimuat naik di YouTube, jelas membuktikan mereka tahu peserta konvoi akan melalui laluan berkenaan," katanya dalam sidang akhbar di sini, semalam.
Dalam kejadian kira-kira pukul 4 petang itu, konvoi yang disertai lebih 500 penunggang motosikal berpakaian baju T dengan logo BN disekat dan diserang oleh penyokong pembangkang yang terlebih dahulu berada di kawasan itu.
Kekecohan yang tercetus hampir 15 minit itu turut menyebabkan seorang penyokong BN cedera akibat terjatuh apabila motosikalnya ditendang.
Hamidah berkata, tindakan provokasi yang berakhir dengan pergaduhan oleh penyokong pembangkang itu sengaja diadakan bertujuan menjejaskan imej BN pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13).
Malah katanya, tindakan memuat naik rakaman itu yang tidak memaparkan situasi sebenar pada hari kejadian juga merupakan cubaan membangkitkan kebencian rakyat kepada kerajaan BN dan diri beliau sebagai calon yang bertanding pada PRU-13.
''Saya percaya ini merupakan salah satu sebab kemerosotan undi saya pada PRU-13 lalu. Provokasi ini merupakan usaha yang dirancang untuk menimbulkan kemarahan kepada BN dan saya sebagai calon," katanya.
Ditanya mengapa mengambil masa yang lama untuk tampil membuat penjelasan, Hamidah berkata, penjelasan itu perlu dilakukan selepas rakaman tersebut terus dimanipulasi pihak pembangkang dengan menayangkan rakaman secara terbuka termasuk di perhimpunan haram yang dihadiri pemimpin pembangkang baru-baru ini.
Katanya, adalah tidak adil apabila masyarakat terus meletakkan kesalahan pada pihaknya sedangkan mereka tidak mengetahui bahawa keganasan itu berpunca daripada provokasi melampau penyokong pembangkang.
''Saya serahkan kepada pihak polis untuk mengambil tindakan berdasarkan peruntukan undang-undang yang ada dan kami telah membuat enam laporan polis pada hari yang sama," katanya.
Sumber utusan
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.