Google+ Followers

Sunday, May 19, 2013

Batal sijil Islam

Majlis Permuafakatan NGO Islam Perak (Mampan) membantah permohonan semakan kehakiman oleh M Indira Gandhi, isteri K Pathmanaban atau nama Islamnya Mohd Ridzuan Abdullah yang membatalkan sijil pengislaman anak-anak mereka di Mahkamah Tinggi Ipoh.

Wakilnya, Suhaimi Latip berkata, Mampan mendesak semua pihak melihat isu pembatalan sijil pengislaman itu sebagai perkara yang berat dan serius.Menurutnya, kes tersebut perlu campur tangan pihak berwajib bagi memastikan kesucian Islam dan perundangan Islam dipelihara.

“Kita minta pihak berwajib melantik hakim beragama Islam dan memahami Islam untuk mengendalikan kes ini.

“Kita tidak mahu kes ini menjadi rujukan atau pendahulu kepada kes seumpamanya jika mereka menang,” katanya selepas Solat Jumaat di Masjid  Negeri Sultan Idris Shah II, di sini, semalam.

Hadir sama, Timbalan Pengerusi Persatuan Cina Muslim Malaysia cawangan Ipoh, Mohamad Hafiz Ng Abdullah; Pengerusi Persatuan India Muslim Perak, Arif Aliah dan wakil Ikatan Muslimin Malaysia (Isma), Roshidi Shahari.

Suhaimi yang juga Yang Dipertua Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim) Perak memaklumkan, pihaknya sedang menggerakkan usaha bagi mengadap Yang Dipertuan Agong dan Sultan Perak bagi menzahirkan isu ini supaya ia mendapat perhatian sewajarnya.

“Umat Islam diajak berterusan bermunajat kepada ALLAH SWT dengan mengadakan solat hajat serta berdoa agar penyelesaian isu ini dapat dicapai dengan baik dan tidak berlaku pembatalan sijil pengislaman.

“Kita mahu umat Islam di Perak dan seluruh negara memahami isu ini serta menyokong bantahan,” tegasnya.

Untuk tindakan bantahan dalam tempoh masa terdekat, beliau meminta orang ramai yang berkelapangan hadir ke Mahkamah Tinggi Ipoh pada 28 Mei untuk berhimpun secara aman bagi membantah tindakan berkenaan.

Pada 12 April 2009, Mohd Ridzuan membawa tiga anaknya iaitu Umu Salamah, 16; Abu Bakar, 14 dan Umu Habibah, 5, memeluk Islam tanpa pengetahuan Indira.

Pengislaman ketiga-tiga anaknya dibantah Indira yang memohon pembatalan sijil pengislaman di Mahkamah Tinggi Ipoh dan kes itu sudah dua kali didengar di mahkamah berkenaan.