Google+ Followers

Sunday, May 19, 2013

Enam wajah baru barisi Exco Perak ,..Hanya Untuk Setahun?

Menteri Besar Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir hari ini mengumumkan senarai sembilan Exco Kerajaan Negeri Perak yang merangkumi enam muka baru.

Mereka yang baru ialah Adun Behrang Datuk Rusnah Kassim, Datuk Samsudin Abu Hassan (Ayer Kuning), Mohd Nizar Zakaria (Belanja), Nolee Ashilin Mohd Radzi (Tualang Sekah), Dr Muhammad Amin Zakaria(Batu Kurau) dan Datuk Shahrul Zaman Yahya (Rungkup).

Rusnah dipertanggungjawabkan untuk memegang portfolio Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga, Kebajikan Masyarakat dan Integrasi Nasional manakala seorang lagi wakil wanita, Nolee Ashilin dilantik sebagai Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Pelancongan dan Kebudayaan.

Sementara Samsudin dilantik sebagai Pengerusi Jawankuasa Hal Ehwal Pengguna, Sumber Manusia dan Masyarakat Sivil.

Mohd Nizar pula dilantik sebagai Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan Islam, Pembangunan Sahsiah, Pembangunan Usahawan dan Koperasi.

Dr Muhammad Amin pula dilantik Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Sains, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau manakala Shahrul Zaman dilantik Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Komunikasi dan Multimedia.

Tiga Adun yang dilantik semula pula ialah Datuk Saarani Mohamad (Kota Tampan), Datuk Mohamad Zahir Abdul Khalid (Kamunting) dan Datuk Zainol Fadzi Paharuddin (Sungai Manik).

Saarani dilantik Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Peladangan, Pertanian, Perumahan dan Kerajaan Tempatan manakala Mohamad Zahir sebagai Pengerusi Jawatankuasa Industri, Pelaburan dan Pembangunan Koridor dan Zainol Fadzi pula sebagai Pengerusi Jawatankuasa Kemudahan, Awam, Infrastruktur,
Tenaga dan Air.

Zambry berkata satu kekosongan jawatan Exco belum diisi kerana ia adalah kuota MCA. Adun Chenderiang Datuk Dr Mah Hang Soon merupakan satu-satunya calon MCA di negeri ini yang memenangi pilihan raya umum lepas.

Pada pilihan raya umum lepas, Barisan Nasional Perak membentuk kerajaan dengan majoriti mudah setelah menguasai 31 daripada 59 kerusi Dun yang dipertandingkan. Daripada jumlah itu, Umno menang 30 kerusi.

Zambry memberitahu penilaian terhadap setiap Exco akan dibuat setiap tahun.
    
"Tuanku (Pemangku Raja Perak Raja Dr Nazrin Shah) menitahkan supaya anggota Exco dinilai setiap tahun dan kemungkinan proses mengangkat sumpah semula dibuat
setiap tahun," katanya.