Sunday, May 19, 2013

Hasan: Tampil kemuka bukti jika ada kenaikan harga barang

 Menteri Perdagangan Dalam Negeri Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Hasan Malek hari ini mencabar mana-mana pihak yang mendakwa berlaku kenaikan harga barangan keperluan selepas Pilihan Raya Umum ke-13 supaya tampil menunjukkan bukti.

Sambil menegaskan tiada kenaikan harga barang keperluan, Hasan berkata tindakan pembangkang yang gemar membuat tuduhan dan dakwaan tanpa bukti jelas membuktikan mereka sengaja mahu membangkitkan kemarahan dan kebencian rakyat terhadap kerajaan.

"Semua cakap berbaur politik tiada langsung pemikiran untuk bangunkan negara. Bagi tahu mana tempat dia (lokasi harga barang naik) supaya kami boleh pergi buat pemeriksaan...saya sendiri sanggup turun walaupun di Kota Kinabalu (Sabah)," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Ekspo Beli Barangan Malaysia 2013 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur di sini.

Ekspo tiga hari bermula semalam itu disertai kira-kira 100 pempamer terdiri daripada agensi kerajaan dan syarikat swasta merangkumi pelbagai sektor termasuk automotif,  makanan dan minuman, perabot, hiasan dalaman dan kesihatan.

Mengenai tindakan 20 pertubuhan bukan kerajaan Islam (NGO) yang mahu umat Islam memulau produk keluaran syarikat Cina, Hasan berkata pihaknya menghormati pendirian semua NGO itu kerana sebagai sebuah badan berkecuali mereka mempunyai hak untuk bersuara.

"Setiap NGO mempunyai hak untuk menyuarakan pendapat dan kementerian ini tak mahu terlibat...sebab fungsi kami adalah untuk melindungi kepentingan serta hak rakyat," katanya.

Selasa lepas 20 NGO Islam dalam sidang akhbar di ibu negara menggesa umat Islam supaya memboikot beberapa produk yang dikatakan tidak selamat untuk dimakan.  

Hasan bagaimanapun berkata beliau akan mengadakan pertemuan dengan wakil NGO terbabit dalam masa terdekat bagi membincangkan lebih lanjut mengenai perkara itu.

Terdahulu dalam ucapannya Hasan berkata syarikat-syarikat di negara ini tidak seharusnya hanya memandang pasaran tempatan sebagai pengguna utama, sebaliknya perlu membina keupayaan untuk bersaing dengan syarikat terbaik di luar negara.

"Satu-satunya cara untuk kita menembusi pasaran global ialah apabila produk dan perkhidmatan kita mampu bersaing dan memenuhi standard antarabangsa", katanya.  

Mengenai Kempen Belilah Barangan Buatan Malaysia, Hasan berkata ia merupakan usaha berterusan kementerian untuk membantu pembangunan ekonomi negara dan memastikan pengaliran wang ke luar negara tidak berlaku.

"Kita mahu ekonomi negara sentiasa berada dalam keadaan siap siaga untuk menghadapi ketidaktentuan ekonomi dunia dan serantau yang semakin mencabar," katanya



Sumber...

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.