Wednesday, April 24, 2013

TINDAKAN KAMILIA ADALAH RAHMAT - DS DR. ZAMBRY




Pengerusi Barisan Nasional Perak Datuk Zambry Abd Kadir berkata, bekas Naib Ketua Umno Datuk Kamilia Ibrahim tidak harus menilai dirinya sendiri dalam memberi khidmat kepada parti atau negara.

Sebaliknya Zambry berkata, apabila diberikan sesuatu amanah dan tanggungjawab oleh pihak pimpinan, beliau harus menerimanya atas semangat perjuangan parti.

"Kita tak seharusnya menilai diri kita sendiri...saya sepatutnya lebih baik, terbaik untuk ini dan untuk itu.

"Bagi mereka yang nak berkhidmat kepada parti dan negara, dia tidak kira sama ada ada jawatan atau tak, diberikan jawatan itu atau ini yang paling penting dia memberikan khidmatnya yang berterusan," katanya kepada pemberita selepas majlis pecah tanah gerai Taman Kuning Sari, di sini, Selasa.

Zambry berkata, Kamilia yang sebelum ini ditawarkan bertanding di kerusi Bukit Chandan mungkin tiada rezeki untuk mewakili Parlimen, tetapi mempunyai rezeki di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).

Bagaimanapun keanggotaan Kamilia dalam parti dilucutkan selepas membuat kejutan menamakan diri sebagai calon Bebas pada hari penamaan calon.


Dalam hal ini Zambry memberi contoh Tun Lim Keng Yaik dan Datuk M.Kayveas yang menerima amanah untuk bertanding di kerusi DUN di negeri Perak.

"Tun Lim Keng Yaik yang pernah menjadi presiden Gerakan hanya bertanding di DUN Jalong.

"Sekarang ini pula paling menarik Presiden PPP Datuk M.Kayveas yang dia tahu bahawa dengan jawatan itu mungkin tidak beri keselesaan tapi kerana amanah dia tidak mempersoalkannya walaupun tempatnya itu (Pasir Berdamar) penuh dengan cabaran," katanya.

Zambry berkata, keputusan Kamilia bertanding sebagai calon Bebas tidak dilihat sebagai 'kehilangan' sebaliknya dilihat sebagai satu hikmah.

Pun begitu, beliau tidak menafikan terdapat pihak yang akan menganggap apa yang berlaku akan meninggalkan kesan negatif kepada parti termasuk pembangkang yang mungkin melihatnya sebagai 'kemenangan'.

"Saya tak fikir macam tu (kehilangan). Saya percaya setiap yang berlaku ada hikmahnya.

"Mungkin ada yang fikir ia akan memberi impak negatif tapi di sebaliknya juga ia akan memberikan impak positif kepada ahli-ahli parti untuk menyuntik semangat juang bagi memberi kemenangan kepada BN," katanya.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.