Monday, April 15, 2013

Analisis PRU-13: Pas mula panik, ajak BN berdebat







PAS sudah menekan siren panik apabila sibuk menjemput calon Barisan Nasional (BN) berdebat dengan mereka selepas hari penamaan calon kelak terutama dalam kawasan Parlimen Rembau.

Jelas jemputan itu satu pendedahan kepada sikap hipokrit Pas, yang tidak sanggup berhadapan masalah dalaman yang semakin parah dan memalukan sehingga mengalih pula kepada hal 'tidak masuk akal' untuk berdebat dengan BN, yang ketika ini sedang agresif turun berbakti kepada rakyat.


Itulah sikap Pas yang gemar 'mengacah' tanpa menunjukkan keikhlasan apa-apa terutama yang melibatkan agama, bangsa dan tanah air.


Sepatutnya Pas bercakap mengenai isu moral, kalimah Allah, perbezaan pendapat pemimpin mereka dan menasihatkan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang dijadualkan melawat negeri ini hari ini dan esok supaya menjawab desakan Lajnah Tatatertib Pas berhubung penyebaran video mirip pemimpin kanan mereka.


Eloklah perkara ini didebatkan dahulu dalam kalangan ahli Pas pada pertemuan mereka dengan Abdul Hadi daripada 'meronta-ronta' dan merayu-rayu mahukan calon BN kelak berdebat dengan mereka, bukan sahaja dicadangkan di Dewan Sri Rembau, tetapi dicabar di kawasan padang daerah Rembau itu.


Begitu juga esok, sempena lawatan Abdul Hadi ke Rembau, tentulah BN mengucapkan terima kasih di atas kesudian pemimpin Pas itu melihat tapak Hospital Rembau yang telah pun dikeluarkan tendernya untuk permulaan projek tidak lama lagi.


Apa yang pasti, majlis minum pagi Abdul Hadi bersama penduduk di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Labu seperti dalam jadual lawatannya esok, tentunya menambahkan sakit hati bekas calon PKR pada PRU-12 lalu, Mokhtar Ahmad yang telah menolak calon Pas, Ketua Pemuda Pas Negeri Sembilan, Mohd Khairil Anuar Wafa bertanding di situ pada PRU-13 ini.





Tentulah ramai yang hendak tahu, apa pula tindakan Mokhtar dan rakan-rakan PKR itu sempena minum pagi Abdul Hadi di Labu atau sekadar protes yang dibuat melalui sidang akhbar di Bilik Gerakan Utama PKR, Labu, dekat sini, baru-baru ini.


Maka dalam hal ini, perlu diingatkan kepada Pas bahawa, sebenarnya orang yang cerdik dalam berdebat itu, bukanlah menunjukkan mereka seorang yang berbakat besar dan boleh mengubah minda.


Sebenarnya, orang yang baik itu adalah mereka yang tidak suka berdebat dan orang yang suka berdebat itu pula, bukanlah dari golongan orang yang baik.


Lebih lanjut lagi Pas harus tahu bahawa kononnya kata-kata jujur yang hendak disampaikan dalam debat Parlimen Rembau itu mungkin tidaklah enak hendak didengar. Walaupun ada yang enak didengar, ia belum tentu merupakan kejujuran mereka.


Sebab itulah Pas, hentikanlah perbuatan mencabar calon BN berdebat ini kerana itu tidak melambangkan ketinggian ilmu mereka. Ini kerana, orang yang suka berdebat mungkin tidak memiliki pengetahuan yang luas, sementara orang yang berpengetahuan dan kaya pengalaman, mereka tidak suka berdebat.


Suka juga peringatan ini diberikan kepada ekstremis Pas bahawa orang yang bijak seperti calon BN, mereka mungkin lambat dalam berbicara tetapi mereka cepat dalam tindakan.


Berbeza dengan Pas, yang 'melenting-lenting' mahu berbicara tetapi malangnya, lambat dalam tindakan dan buktinya lihat sendiri isu dalaman parti ini, semuanya sedang bercelaru. Debatkanlah kenapa tunggu dan lihat.


Kalau Pas masih kabur, eloklah diberitahu semula bahawa dalam mensejahterakan rakyat, kita harus bekerja keras dan kurang berdebat, membantah, menuntut yang bukan-bukan selain suka membuat tohmahan.


Jadi dalam soal ini, jelaskan membuktikan bahawa BN adalah pilihan terbaik kerana jentera mereka bekerja keras di seluruh negeri ini, bukan hanya di Parlimen Rembau. Mereka tidak suka berdebat apatah lagi membantah.







© Utusan Melayu (M) Bhd

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.