Thursday, May 2, 2013
291 laporan kes khianat sejak Parlimen bubar
Mohd Shukri (kanan) menjalankan tanggungjawab sebagai pengundi awal di Kelab Polis IPK Perak, semalam.
Polis Perak menerima hampir 90 peratus laporan polis membabitkan kes khianat terhadap poster dan bendera pelbagai parti politik di negeri ini menjelang Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13).
Ketua Polis Negeri, Datuk Mohd Shukri Dahlan berkata, kes itu dicatatkan sejak pembubaran Parlimen pada 3 April lalu.
Menurutnya, antara laporan yang diterima termasuk membakar dan mengoyak bendera serta mensabotaj poster parti politik.
“Selain itu, terdapat kes lain turut berlaku antaranya pertengkaran, perselisihan faham dan mengadakan ceramah tanpa permit," katanya.
Beliau berkata, semua penyelia atau ketua jentera parti politik pada pilihan raya kali ini diminta memantau pergerakan anggota mereka agar tiada yang terbabit dalam perbuatan khianat itu.
“Mereka (Anggota dan jentera parti politik) dinasihatkan supaya menjaga keselamatan diri agar tidak membahayakan diri ketika melakukan pemasangan bendera dan poster parti yang diwakili,” katanya.
Beliau berkata, dalam pada itu, terdapat penambahan 36 laporan polis mengenai kes berkaitan pilihan raya sehingga semalam menjadikan jumlah keseluruhan 291 laporan polis diterima sejak 3 April lalu.
“Daripada jumlah itu, terdapat 12 tangkapan dan 23 kertas siasatan dibuka sejak pembubaran Parlimen manakala sebanyak 178 ceramah diadakan di seluruh negeri semalam dan 43 daripadanya diadakan tanpa permit,” katanya.
Terdahulu, Mohd Shukri melaksanakan tanggungjawab sebagai pengundi awal di Kelab Polis Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak.
Jelasnya, seramai 7,020 anggota polis dan pasangan didaftarkan sebagai pengundi awal di seluruh negeri ini.
"Bagi Perak, terdapat 76 pusat pengundian awal melibatkan IPK dan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) (60); Pasukan Gerakan Am (PGA) (3) dan Angkatan Tentera DiRaja Malaysia (ATM) (13).
"Pengundian awal di kontinjen Perak bermula sejak jam 8 pagi dan dijangka berakhir jam 7 petang," katanya.
Kata beliau, setakat ini, proses pengundian awal berjalan lancar dan semua pegawai kanan serta anggota pangkat rendah telah menunaikan tanggungjawab masing-masing.
“Sehingga jam 1 petang tadi (semalam) sebanyak 81.66 peratus anggota polis bersama pasangan mereka sudah membuang undi dan dijangkakan jumlahnya akan bertambah sehingga 90 peratus atau lebih sebelum pusat pembuangan undi ditutup,” katanya.
Labels:
bendera
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.