Wednesday, April 17, 2013

LUAR PARTI....PANAS DAN TERKINI !!! BEKAS ADUN UMNO UMUM KE.... SABOTAJ MELANDA ???

Perdana Menteri telah mengumumkan calon-calon yang bakal bertanding dalam PRU-13 dan sedikit masa lagi kita mungkin akan membezakan antara ahli politik yang waras dan matang dengan yang tidak. Ini kerana, mana mungkin kesemua yang terlibat berpuas hati dengan keputusan Perdana Menteri tidak kira walaubagaimana bijak, baik, ikhlas atau bersih pun calon yang terpilih itu. Kadangkala, ketidakpuasan hati itu bukan kerana mempunyai masalah dengan calon, tetapi hanya kerana mempunyai kepentingan diri untuk meletakkan orang lain atau mungkin juga, diri sendiri.

 Namun, kewarasan dan kematangan seharusnya membantu kita menerima keputusan seadanya bagi membolehkan kita bergerak ke hadapan. Dengan memberi berbagai alasan untuk tidak menerima hakikat dan enggan bergerak ke hadapan, dengan sendirinya membuktikan bahawa orang sebegini sememangnya tidak layak untuk dicalonkan. Sebagai rakyat, kita berpeluang memilih yang terbaik dan menolak yang tidak waras dan tidak matang itu. Nampaknya, Dato’ Seri Najib telah mencuba sedaya upaya untuk menampilkan yang terbaik dengan mengambil kira suara akar umbi dan rakyat keseluruhan. Jika kita asyik merungut dengan sikap segelintir pemimpin kecil BN yang mengada-ngada, sombong, korup dan bodoh, tetapi di masa yang sama kita juga tidak sanggup mengundi pembangkang yang jauh lebih jahat, korup dan bodoh lagi, maka inilah masanya kita memberi sepenuh sokongan kepada pilihan Dato’ Seri Najib.

 Kita juga sering merungut mengenai bagaimana personaliti yang berpotensi dicantas dan ditolak sejak di peringkat bawahan, malah daripada peringkat penyerahan borang keahlian lagi. Mereka yang berpelajaran tinggi disekat kerana bimbang mengatasi Ketua Cawangan dan Bahagian. Mereka yang kuat bekerja, rajin, amanah dan ikhlas diketepikan kerana bimbang akan terserlah ‘bintangnya’ sehingga menampakkan betapa bertentangannya sikap tersebut dengan penggalas jawatan yang sedia ada. Sehinggakan akhirnya, semua jawatan politik di isi oleh mereka yang kebanyakannya sudah tidak relevan lagi.

 Akibatnya, yang tidak tahu dan tidak mahu bekerja terus berada di atas sehingga menimbulkan rasa benci dan muak rakyat terhadap UMNO/BN. Justeru, keputusan Dato’ Seri Najib untuk meletakkan 45% muka baru bagi kerusi DUN dan 33% bagi Parlimen, membuktikan bahawa Dato’ Seri Najib benar-benar serius dalam membawa transformasi ke dalam Barisan Nasional. Selain itu, sejumlah 91% yang tercalon mempunyai kelayakan akademik sekurang-kurangnya diploma ke atas. Jelas, Dato’ Seri Najib sedar bahawa untuk survival parti, BN perlu mengutamakan suara rakyat dari suara segelintir mereka yang tidak berpuas hati. Objektif BN ialah berkhidmat untuk rakyat, bukan pemimpin-pemimpin Bahagian, Cawangan dan Ahli-ahli Jawatankuasa mahupun Menteri-menteri dan Timbalan-timbalan mereka.

 Dan objektif yang sama wajib dipegang oleh semua calon-calon yang terpilih kali ini. Buktikan yang anda adalah pilihan yang tepat. Bagi mereka yang tidak terpilih, bukan bermakna semuanya tidak bagus, tidak menunjukkan prestasi yang baik atau tergolong dalam golongan yang tidak matang dan tidak waras tadi. Tidak dapat dinafikan kemungkinan ada pilihan yang tidak begitu tepat, namun terimalah itu sebagai takdir yang pasti ada hikmahnya. Lagipun, jika benar anda seorang yang matang, waras dan masih relevan, maka buktikanlah ia dengan cara meneruskan perjuangan walaupun tidak dicalonkan. Jika itu juga sukar untuk dilakukan, maka bersaralah dengan cara terhormat, sebagai seorang manusia yang berpendirian.

 Sekiranya benar anda seorang yang berkebolehan seperti yang anda war-warkan, maka yakinlah rezeki ada di mana-mana dan bukannya hanya melalui politik. Sedarlah bahawa politik hari ini bukan lagi seperti 15 tahun dahulu di mana sedikit kelemahan tidak akan membawa padah yang besar. Hari ini politik menjangkaui sempadan kawasan dan negara. Jika tersalah langkah, negara, bangsa dan agama menjadi taruhan. Oleh itu, ini bukan masanya untuk kita memikirkan tentang diri sendiri dan beremosi, tetapi lihatlah transformasi ini sebagai langkah pertama ke arah sebuah bangsa yang berilmu, matang, berprinsip dan bermaruah.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.