Saturday, April 20, 2013

DAP P. Pinang sembunyi pelaburan 'misteri'?










PULAU PINANG 18 April - Barisan Nasional (BN) negeri mendedahkan laporan media di China mengenai pelaburan 'misteri' bernilai RM6.3 bilion oleh kerajaan DAP Pulau Pinang di Wuhu yang disembunyikan daripada pengetahuan rakyat.


Ketua Penerangan BN negeri, Tan Cheng Liang berkata, berdasarkan laporan akhbar Wuhu Daily dan sebuah stesen televisyen negara itu pada 2011 dengan jelas menyebut Timbalan Ketua Menteri 1, Datuk Mansor Othman yang mewakili kerajaan negeri telah menandatangani memorandum persefahaman (MoU) pelaburan dalam bidang ekonomi, perdagangan, pertukaran budaya dan beberapa bidang lain.


Sehubungan itu, tegas Cheng Liang, apa yang menjadi persoalan ialah mengapa Ketua Menteri, Lim Guan Eng menjawab tidak tahu sedangkan ia merupakan urusan rasmi kerajaan negeri.


Selain Mansor turut menyertai rombongan ke negara itu ialah dua Exco iaitu Law Choo Kiang dan Ong Kok Fooi di samping Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN), Tan Hock Leong.


"Mansor pernah menjawab kepada media tempatan kunjungannya ke sana sekadar menandatangani MoU tanpa melibatkan jumlah pelaburan.


"Ini bukan perkara main-main kerana media China melaporkan perkara berbeza," katanya dalam sidang akhbar di sini, hari ini.


Sebelum ini Guan Eng mendakwa beliau tidak tahu menahu mengenai pelaburan berkenaan dan meminta soalan berkenaan diajukan kepada Mansor yang kemudiannya memaklumkan Parti Keadilan Rakyat (PKR) tidak terlibat kerana ia merupakan urusan 'rasmi' kerajaan negeri.


Mengulas lanjut, Cheng Liang berkata, rakyat berhak tahu mengenai perkara berkenaan kerana melibatkan duit rakyat sebagai pembayar cukai.


"Selama ini kerajaan DAP Pulau Pinang sering melaungkan konsep slogan 'Cekap, Akauntabiliti dan Telus' (CAT) namun tidak mempraktikkan apabila menyembunyikan hal pelaburan yang bernilai cukup besar.


"Kami juga mahu Mansor menerangkan apa status terkini pelaburan berkenaan sama ada diteruskan, berjaya atau gagal. Apa pulangan yang diperoleh kerajaan negeri selepas dua tahun membuat pelaburan berkenaan," ujarnya.


Cheng Liang berkata, pihaknya memberi tempoh selama seminggu kepada Mansor untuk menjawab perkara itu.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.