Monday, April 8, 2013

Zambry Beri Jaminan Setiap Kelemahan Akan Diperbaiki

 

 

 


Rakyat Perak menjadi saksi kepada komitmen dan usaha yang dilakukan oleh kerajaan negeri Barisan Nasional  bagi memastikan setiap rakyat di semua lapisan tidak terlepas bersama-sama menikmati hasil kemakmuran dan kemajuan negeri.
Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Zambry Abd Kadir berkata, sejak menerajui Perak pada 6 Februari 2009, beliau bersama-sama barisan Exco dan anggota pentadbiran telah berikhtiar sedaya upaya untuk mencetus dan melaksanakan pembaharuan serta perubahan sebenar yang berpaksikan kepada Gagasan Perak Amanjaya – Tiada Tertinggal, Tiada Terpinggir serta menjunjung falsafah 1 Malaysia, rakyat didahulukan, pencapaian diutamakan.
“Dalam tempoh empat tahun ini, saya bersama-sama barisan Exco dan ADUN telah bersama-sama berada di lapangan, mendengar dan menyelami denyut nadi rakyat dalam mencari penyelesaian kepada resah getir masalah rakyat,” katanya ketika sidang media khas mengumumkan pembubaran Dewan Undangan Negeri Ke 12 di kediaman rasmi Menteri Besar di Ipoh petang ini. 
Hadir sama barisan Exco kerajaan negeri Perak, wakil-wakil parti komponen BN dan wakil anggota pentadbiran negeri.
Sidang media itu diadakan sebaik sahaja beliau selesai mengadap Pemangku Raja Perak, Raja Dr. Nazrin Shah di Istana Iskandariah, Kuala Kangsar untuk memohon perkenan membubarkan DUN Perak Ke 12.
Dr Zambry berkata, pilihanraya akan diadakan pada bila-bila masa dan inilah saatnya rakyat membuat pilihan untuk menjamin masa depan yang cemerlang, bukan sahaja untuk diri sendiri tetapi juga untuk anak cucu generasi akan datang.
Katanya, sejak 55 tahun lalu,rekod serta keupayaan BN telah terbukti di dalam menjamin kestabilan, keamanan dan memberikan perkhidmatan kepada rakyat.
Sambil mengakui bahawa kerajaan BN juga tidak terlepas daripada kelemahan dan kekurangan, beliau memberi jaminan, ia telah dan akan diperbaiki dari masa ke semasa. 
“Kami tidak pernah menuding jari atau menyalahkan orang lain jika ada kelemahan yang berlaku. Barisan Nasional juga tidak bermain dengan politik kebencian atau memecah-belahkan rakyat,” tambah beliau.
Malah, kata beliau, BN dengan sedaya upaya telah berikhtiar memastikan tiada rakyat yang tertinggal dan terpinggir dalam mencapai kemajuan dan keamanan negeri Perak. 
Sehubungan itu, Dr Zambry meminta rakyat menilai BN berdasarkan pencapaian yang dilaksanakan, bukannya tohmahan atau fitnah yang dilemparkan secara melulu.
Beliau memberi jaminan, kerajaan yang ada sekarang akan meneruskan tugas dan tanggungjawab, sesuai dengan prinsip keluhuran Perlembagaan dan kedaulatan undang-undang, sehingga prosese pilihan raya selesai.
Dr Zambry yakin, rakyat akan terus memberi sokongan kepada BN  dan beliau serta kepimpinan parti akan terus turun padang bertemu rakyat di seluruh pelusuk negeri bagi meyakinan rakyat mengapa BN perlu diberi peluang kembali untuk membentuk kerajaan dengan majority yang kukuh.
“Kami akan menggunakan mandat yang diberi, Insya Allah untuk melipat gandakan lagi usuaha bagi melakar masa depan yang lebih baik, lebih bermakna, lebih sejahtera untuk saudara dan saudari serta anak cucu kita semua,” tambah beliau.
Di akhir pengumumannya, Menteri Besar menyeru rakyat supaya bersatu untuk terus maju ke arah mencapai Perak Amanjaya – Negeri Perak yang aman dan berjaya.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.