Thursday, March 28, 2013

Perak : Penduduk kampung di Ayer Tawar bersyukur jalan diperbaiki



Penduduk Kampung Ambiga di Ayer Tawar berdepan masalah jalan berlubang dan becak di kawasan perkampungan mereka di sini. Masalah semakin teruk apabila tiba musim hujan kerana jalan berlopak itu akan dipenuhi air dan membahayakan keselamatan penduduk.

Pengerusi Barisan Nasional (BN) Bahagian Beruas, Datuk Chang Ko Youn berkata, penduduk mengalami masalah setiap kali melalui jalan berlubang dan becak itu. Menurutnya, perkara itu diadukan kepadanya supaya tindakan segera dapat diambil untuk menurap jalan berkenaan.

“Saya memahami permasalahan yang dihadapi penduduk berkenaan kerana keadaan jalan yang berlubang itu mendatangkan bahaya kepada penduduk.

“Jalan juga kurang selesa dilalui dan mengancam keselamatan pengguna sekiranya terlanggar lopak, terutama kepada penunggang motosikal,” katanya ketika meninjau kerja-kerja menurap jalan berkenaan selepas menghadiri sambutan perayaan di kuil kampung berkenaan, baru-baru ini.

Bagaimanapun, Ko Youn berkata, pihaknya telah mengambil tindakan segera dengan memohon sumbangan daripada parti Gerakan Perak untuk menurap jalan berkenaan.

“Kawasan ini bukan di bawah jagaan Majlis Perbandaran Manjung (MPM) menyebabkan berlaku sedikit masalah untuk memohon peruntukan bagi membaik pulih jalan.

“Namun, kita mengambil pendekatan dengan memohon sumbangan daripada parti Gerakan Perak untuk membantu masalah ini dan akhirnya hasrat untuk menurap jalan ini tercapai,” katanya, yang juga Penasihat kepada Menteri Besar Perak.

Katanya, apabila jalan berkenaan siap diturap sepenuhnya penduduk tidak lagi bermasalah untuk melalui jalan itu.

“Saya harap bantuan ini dapat memberi keselesaan kepada penduduk.

“Kita akan sentiasa mendengar dan cuba menyelesaikan setiap masalah penduduk sebaik mungkin bagi memastikan mereka dapat hidup dengan selesa,” katanya.





*sumber dari laman sesawang akhbar tempatan.



Janji ditepati
Tiada yang terpinggir, Tiada yang tertinggal







No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.