Tuesday, April 16, 2013
Otai Umno Ditempelak!
Kawal emosi jika tidak terpilih!!!
JANGAN sebab "marahkan nyamuk, kelambu dibakar". Peribahasa Melayu di atas mengingatkan saya bahawa seseorang tidak perlu memusnahkan segala-galanya yang sudah dibina hanya kerana satu perkara yang sangat kecil, kemudiannya merugikan diri sendiri.
Peribahasa itu juga secara tidak langsung mengingatkan saya kepada bencana dan kerugian yang akan menimpa sekiranya wakil-wakil rakyat atau pemimpin yang tidak terpilih pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) melakukan sabotaj kepada parti Barisan Nasional (BN).
Mereka ini perlu mengawal emosi masing-masing dan dinasihatkan tidak berbuat perkara yang boleh memusnahkan parti dan negara.
Bukan berniat untuk mentarbiahkan wakil-wakil rakyat yang sudah berpengalaman dan berpenggal-penggal lamanya dalam kancah politik, sebaliknya hanya sekadar berpesan-pesan.
Pensyarah Jabatan Sosiologi dan Antropologi Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Prof. Dr. Fatimah Daud hari ini turut memberi ingatan bahawa mereka yang tidak terpilih di dalam PRU-13 perlu mendapatkan nasihat daripada kalangan yang lebih berpengalaman dan pakar bagi meluahkan perasaan tidak puas hati.
Katanya, mereka boleh berjumpa nasionalis-nasionalis, pakar sejarah, pakar kaunseling, veteran-veteran parti dan tokoh-tokoh agama untuk mendapatkan nasihat dan pandangan yang bernas.
Pandangan-pandangan yang diberikan sekurang-kurangnya dapat merawat hati yang terluka (sebab tidak dipilih).
Jangan mendapatkan pandangan dan nasihat daripada kawan-kawan atau kumpulan oportunis yang boleh menjahanamkan diri dan parti.
Kumpulan oportunis hanya pandai menghasut dan mengakibatkan rasa dendam yang lebih menebal, kata Fatimah kepada Utusan Online.
Hari ini, Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan bahawa sebanyak 33 peratus calon Parlimen dan 49 peratus calon dewan undangan negeri (DUN) BN adalah terdiri daripada muka baharu.
Najib yang juga Perdana Menteri memberitahu bahawa calon-calon berkenaan dikenali sebagai Pasukan Transformasi BN.
Senarai calon bagi UMNO akan diumumkan esok manakala calon-calon bagi parti komponen diumumkan hari ini.
Kalangan yang tidak terpilih juga perlu lebih bermuhasabah diri dan bersyukur dengan peluang dan ruang yang telah diberikan selama ini.
Tidak terpilih bukan bererti tidak layak dan tidak berkemampuan, sebaliknya saya yakin BN cuba menguji kemampuan calon-calon baharu yang lebih berpotensi untuk meneruskan kesinambungan pemerintahan negara.
Semoga pemimpin dan wakil-wakil yang tidak terpilih ini bersama-sama membantu mencapai kemenangan yang lebih besar buat BN pada PRU-13.
sumber Akhbar tempatan
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.