Thursday, April 18, 2013
Abang cabul adik dipenjara setahun, satu sebatan
Seorang penganggur dihukum penjara 12 bulan dan satu sebatan di sini hari ini selepas mengaku bersalah terhadap pertuduhan mencabul adik kandungnya minggu lepas.
Majistret Erry Shahriman Nor Aripin memerintahkan lelaki berusia 22 tahun itu menjalani hukuman penjara bermula dari tarikh dia ditangkap 10 April lepas.
Sebelum menjatuhkan hukuman, Erry Shahriman sempat menasihatkan tertuduh supaya menjadi orang berguna yang dapat membantu keluarga.
"Sebagai abang sulung, kamu patut membantu keluarga dan menjaga adik-beradik dengan baik...kamu muda lagi dan adik kamu pun baru berusia 17 tahun dan dia juga ada masa depan.
Saya harap kamu dapat kotakan janji untuk tidak mengulangi kesalahan yang sama," kata Erry Shahriman.
Tertuduh didakwa menggunakan kekerasan jenayah terhadap gadis berusia 17 tahun 10 bulan dengan niat hendak mencabul kehormatannya di dalam bilik rumah mereka di Salak Selatan, Cheras di sini pada 3 petang, 9 April lepas.
Dia yang tidak diwakili peguam didakwa mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda atau sebat atau mana-mana dua daripada seksaan itu, jika sabit kesalahan.
Mengikut fakta kes, semasa mangsa tidur di dalam bilik, tertuduh telah mengetuk pintu dan apabila pintu bilik dibuka, tertuduh terus masuk dan menolak mangsa sehingga terbaring di atas katil sebelum menindih dan mencabulnya.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Kee Wei Lon. - Bernama
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.